Oleh Normazlina M.D
Gambar oleh Infofoto
TUTONG, 19 Mac – Lebih 200 orang penunggang basikal dan penduduk sekitarnya hari ini beramai-ramai memeriahkan Acara Sejenak di Kampung Danau, Daerah Tutong.
Ia dimulakan dengan acara Kayuhan Basikal sejauh 23.6km dari Dewan Kemasyarakatan Kampung Danau Tutong dan diteruskan dengan beberapa aktiviti menarik seperti mewarna, menulis Jawi, mencari nama kampung, memakai dan memperagakan tudung, ‘menumpah’ Ambuyat dan banyak lagi.
Selain itu, aktiviti kekeluargaan juga diadakan antaranya teka-teki, memasukkan bola ke dalam jaring, pancing botol, mengangkat tayar, boling dan tarik kalat.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohammad Hussain.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai; Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Pengiran Haji Abdul Salam bin Haji Abdul Ghani, pemangku ketua Kampung Danau, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong.
Acara juga dimeriahkan dengan pameran, pondok Radio Televisyen Brunei (RTB), pemeriksaan kesihatan, sukan ria dan gerai jualan. Acara yang diadakan bertujuan menjadi wadah bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan penduduk menjalinkan hubungan silaturahim dan perpaduan.