Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal pada 148 orang di mana dua kes aktif masih sedang dirawat dan jumlah kes yang sembuh kekal pada 143 orang serta tiga kematian.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei iaitu 175 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah tujuh kes.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, seramai 274 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 7,443 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 517 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 68,031 ujian.
Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.