Sejuta rakyat China terima vaksin

BEIJING, 22 NOV – Hampir sejuta rakyat China sudah disuntik dengan vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh syarikat negara itu, Sinopharm meskipun tanpa bukti jelas berhubung keberkesanannya.

China sudah memberikan vaksin berkenaan kepada kakitangan kerajaan, pelajar antarabangsa dari negara itu dan tenaga kerja yang berlepas ke luar negara sejak Julai lalu.

Pengerusi Sinopharm memberitahu media bahawa hampir sejuta rakyat China sudah diberikan vaksin itu yang diberikan berdasarkan penggunaan kecemasan.

“Kita tidak menerima satu pun laporan berhubung kesan sampingan yang serius, tetapi ada beberapa kes menunjukkan individu dengan simptom sederhana,” katanya dalam satu temu bual.

China kini bertungkus-lumus untuk mempercepat pengeluaran vaksin COVID-19 dengan empat daripadanya pada ujian peringkat akhir.

Sinopharm melaksanakan ujian fasa akhir vaksin dibangunkannya di negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Jordan, Peru, Mesir dan Argentina. – AFP