Sekat iklan Internet tidak berfaedah

Sebagai salah seorang pengguna laman media sosial di negara ini, saya ingin menyarankan agar pihak relevan menyekat mana-mana laman web atau iklan sama ada dalam Internet mahupun laman media sosial yang menyiarkan mengenai pelaburan skim cepat kaya dan berkaitan terutama yang menggunakan nama, mata wang Brunei dan sebagainya.

Ini kerana perkara ini terjadi pada adik saya sendiri yang masih bersekolah.

Ketika pembelajaran semasa pandemik ini lebih cenderung menggunakan telefon dan akses Internet yang mudah, mereka ini terutama golongan remaja mudah terdedah dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti yang dinyatakan di atas.

Mereka sebagai golongan bawah umur setentunya menganggap ia benar, ini kerana janji manis yang ditawarkan dalam video tersebut kelihatannya sangat meyakinkan apabila ada yang menunjukkan mata wang Brunei dan menayangkan slip bank-bank di negara ini kononnya sebagai bukti perniagaan mereka itu sah.

Sebagai contoh jika si penipu menawarkan beribu-beribu dolar kepada kanak-kanak dengan syarat memberinya nilai wang yang mereka perlukan seperti dalam nilai ratusan dolar saja, sudah setentunya mereka akan terpedaya meskipun ia hanya umpan untuk menjerat mereka yang tidak mengetahui ia sebenarnya satu cara untuk menipu.

Dalam hal ini, diharap pihak sekolah juga perlulah memberikan pendedahan pengetahuan mengenai perkara tersebut dan menyelitkannya dalam pembelajaran kurikulum atau menjemput pihak tertentu untuk memberigakan isu penipuan kewangan dalam Internet kepada para pelajar sekolah.

Manakala bagi untuk orang ramai terutama warga emas, mereka perlu dimaklumkan mengenainya menerusi rangkaian media massa dan cetak.

Bukan Mangsa Terjerat