Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 27 Mei – Sembilan kompoun telah dikeluarkan ke atas pemandu kerana didapati telah melanggar Akta Kesalahan Lalu Lintas semasa operasi sekatan jalan raya yang telah dikendalikan oleh Balai Polis Tutong, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Operasi mingguan yang tertumpu di kawasan bawah Jejambat Bukit Beruang menghala ke Tutong itu telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Ketua Inspektor Shamsulnahar bin Haji Idris dan melibatkan 16 orang anggota balai.
Antara tujuan operasi adalah bagi meningkatkan disiplin masyarakat dalam penggunaan di jalan raya serta mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan sesama pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya menekankan bahawa pihak mereka sentiasa memberikan peringatan serta menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang dijalankan ke atas mereka.
