DAMSYIK – Di lereng gunung di bandar Al-Marah yang terletak di utara ibu negara Syria, Damsyik, kelihatan semak-samun bunga mawar Damascene yang bertahan dengan semua keadaan cuaca, tetapi kini diancam oleh sekatan Amerika Syarikat.
Bandar al-Marah dipercayai tempat asal bunga mawar Damascene yang terkenal di dunia di mana ia boleh ditemui di kaki pergunungan Qalamoun di utara Damsyik, yang sejarahnya pernah dijelaskan orang-orang Rom pernah membawa mawar itu ke England dari rantau ini.
Dalam dua tahun pertama krisis di Syria, para petani berasa rindu untuk menjaga bunga mawar yang dianggap sebagai produk kebangsaan negara itu, kerana ladang bunga mawar di al-Marah menjadi seperti zon peperangan untuk tentera memburu pemberontak di bandar-bandar berdekatan.
Selepas pembebasan Qalamoun, para petani pernah optimis untuk menyelamatkan mawar dan meneruskan warisan mereka. Walau bagaimanapun, sekatan AS telah memberi kesan negatif yang berpanjangan ke atas bunga mawar Damascene, yang terkenal dengan haruman istimewa kerana 1 gram minyaknya dikatakan dijual dengan nilai AS$60.
Muhammad Jamal Abbas, seorang petani mawar berusia 60 tahun dari Al-Marah, memberitahu Xinhua bahawa keadaan cuaca tahun ini teruk dengan tiada hujan atau salji yang banyak di bandar mereka.
Tambahnya, sekatan AS telah menghalang petani untuk mengeksport minyak yang diekstrak, krim, dan produk lain yang berasal dari mawar itu.
“Peniaga asing yang pernah membeli produk kami berhenti membelinya kerana sekatan. Kini, kami hanya bergantung kepada pasaran tempatan untuk menjual produk kami, tetapi permintaannya begitu sedikit,” katanya.
Tambahan pula, sekatan AS juga menghalang petani Syria daripada mempunyai mesin baharu untuk membantu memproses pelbagai produk mawar itu.
Berhampiran ladangnya, Abbas mempunyai tempat yang besar, di mana beberapa jentera sementara dan peralatan gaya lama ditempatkan untuk menekan bunga mawar dan mengeluarkan minyak serta air daripadanya. Tempat itu kelihatan seperti kapsul masa, membawa pengunjung kembali ke sejarah untuk melihat jentera dan peralatan asal.
“Saya tidak tahu ke mana kami pergi. Kami sangat terkesan dengan sekatan AS, dan kesannya bukan sedikit,” tegasnya.
Abbas seterusnya memberi amaran bahawa profesion membuat produk daripada bunga mawar Damascene boleh berakhir kerana kini petani bekerja tanpa sebarang keuntungan, hanya kerugian.
Di sebalik semua kesukaran, lelaki itu bertekad untuk tidak meninggalkan ladang atau bunga mawarnya, sambil mengingati bunga mawar itu telah membantunya membina keluarga yang berjaya, dengan bangganya mendidik semua anak-anaknya daripada hasil bunga mawar selama ini.
Anak perempuannya, yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam ijazah kimia, telah mula membantu bapanya menghasilkan produk baharu, seperti syampu dan krim muka daripada bunga mawar.
Abbas berharap bunga mawar Damascene akan kembali terkenal, dan sekatan AS akan ditarik balik tidak lama lagi supaya dia dan petani Syria yang lain boleh mendapat akses ke pasaran asing.
“Bunga mawar Damascene adalah tumbuhan yang cantik,” katanya. – Xinhua