CARACAS, 9 FEB – Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mengecam sekatan AS ke atas Venezuela sebagai ‘tidak sah’ ketika satu lawatan rasmi ke Caracas pada Jumaat.
“Sekatan berkenaan adalah tidak sah dan merupauan punca utama krisis dalam ekonomi Venezuela,” kata Lavrov selepas bertemu dengan rakan sejawatan Venezuela Jorge Arreaza.
Rusia ialah salah satu penyokong utama Presiden Venezuela Nicolas Maduro, selain China dan Cuba.
Presiden AS Donald Trump telah melancarkan beberapa siri sekatan ke atas ekonomi Venezuela, yang telah dibelenggu krisis bertahun-tahun lamanya, serta ke atas Maduro dan menteri beliau.
Di antara langkah berkenaan, Washington mengenakan sekatan ke atas industri minyak Venezuela pada tahun lalu, menyasarkan sumber utama mata wang negara, dan pada Jumaat ia me-ngenakan sekatan ke atas syarikat penerbangan negara Conviasa. Pentadbiran AS berkata sekatan bertujuan memaksa Maduro meletak jawatan.
Pada Khamis, Elliott Abrams, orang kanan pentadbiran AS mengenai Venezuela, memberi petunjuk bahawa Washington merancang untuk menyasarkan Rusia kerana menyokong Venezuela, di tengah laporan AS mungkin mengenakan sekatan terhadap syarikat minyak Rusia Rosneft kerana hubungannya yang semakin rapat dengan Caracas.
Lavrov, dalam kunjungan ke Amerika Selatan, tidak menyebut ugutan AS ke atas Rosneft, namun berkata Rusia menganggap ‘sekatan tidak dapat diterima sebagai percubaan untuk menggunakan undang-undang sebuah negara untuk negara lain.’ – AFP





























