Sekatan AS tidak halang Iran hasilkan peralatan ketenteraan

TEHRAN, 4 SEPT – Menteri Pertahanan Iran kelmarin memuji kemampuan negara itu untuk menghasilkan sejumlah peralatan dan perkakasan ketenteraan walaupun dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Xinhua.

Amir Hatami berkata ‘musuh’ berusaha sedaya upaya untuk menghentikan pertumbuhan sektor pertahanan Iran. Namun, kementerian pertahanan berjaya melaksanakan kemajuan yang besar dalam menghasilkan peralatan ketenteraan termasuk 38,000 alat ganti, kata Hatami memetik agensi berita Tasnim.

Katanya, Iran mampu berdikari dalam sektor ini tanpa bantuan negara lain. Baru-baru ini di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), AS gagal dalam usahanya meminta negara anggota melanjutkan sekatan senjata ke atas Iran, yang akan tamat Oktober. – Bernama