Sekatan AS tutup diplomasi selamanya

MOSCOW, 25 JUN – Sekatan terkini Amerika Syarikat (AS) terhadap kepimpinan Iran akan menutup laluan diplomasi buat selamanya dengan negara itu, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan jurucakap Menteri Luar Iran Abbas Mousavi hari ini.

“Sekatan tidak berguna AS terhadap pemimpin agung dan komander tentera (Iran) akan menutup laluan diplomasi buat selamanya dengan kerajaan AS yang terdesak. Kerajaan Presiden AS Donald Trump terlibat dalam pemusnahan semua mekanisme antarabangsa yang diperlukan untuk memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Mousavi di Twitter.

AS semalam telah mengenakan sekatan terhadap Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander kanan Tentera Laut Iran, Aeroangkasa dan Angkatan Darat Kor Pengawal Revolusi Islam.

Trump berkata sekatan itu bertujuan ‘menafikan Pemimpin Agung serta pejabat Pemimpin Agung, serta mereka yang rapat dengan beliau dan pejabat tersebut, akses kepada sumber dan sokongan kewangan utama.’

Beliau berkata langkah diambil sebagai sebahagian tindak balas kepada ketegangan baru-baru ini yang membabitkan tindakan menembak jatuh sebuah dron Tentera Laut AS di Selat Hormuz dan beberapa siri serangan ke atas kapal tangki minyak di Teluk Oman. Iran minggu lepas berkata ia menembak jatuh pesawat pengawasan AS yang terbang di wilayah pesisir Hormozgan selepas ia melanggar ruang udara negara itu.

Susulan insiden itu, Trump berkata ia telah mengarahkan serangan ketenteraan ke atas Iran, namun membatalkannya kemudian dan sebaliknya memutuskan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Republik Islam tersebut.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak sejak tahun lepas apabila Trump mengeluarkan AS daripada perjanjian nuklear bersejarah dengan Iran dan mula mengenakan semula sekatan ke atas negara itu. – Bernama

Gambar yang dikeluarkan oleh laman web pejabat Presiden Iran menunjukkan Presiden Hassan Rouhani menghadiri satu mesyuarat dengan pegawai Kementerian Kesihatan di Tehran kelmarin. Rouhani berkata sekatan baharu AS yang menyasarkan pemimpin Republik Islam adalah ‘tidak masuk akal dan bodoh.’ – AP