Sekatan Auckland dilanjutkan 12 hari

WELLINGTON, 14 OGOS – New Zealand hari ini melanjutkan tempoh sekatan pergerakan di bandar terbesarnya, Auckland untuk sekurang-kurangnya 12 hari lagi.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Jacinda Ardern, tatkala pihak berkuasa bergelut dengan wabak COVID-19 yang semakin berkembang.

“Kabinet bersetuju untuk mengekalkan sekatan itu dengan menambah 12 hari lagi, menjadikan tempoh keseluruhan dua minggu,” kata Ardern.

Empat orang disahkan positif COVID-19 Selasa lalu, iaitu kes pertama dilaporkan sejak negara itu bebas jangkitan dalam komuniti selama 102 hari lalu.

New Zealand kini mengesan kluster baharu dengan 30 kes jangkitan, kebanyakannya di bandar Auckland, di mana 1.5 juta penduduknya diarahkan duduk di rumah.

Dua jangkitan ditemui di bandar Takoroa, iaitu 210 kilometer dari selatan Auckland dan pihak berkuasa berusaha mengesan dari mana virus itu datang.

Arden berkata ujian genetik yang dilakukan menunjukkan tiada kaitan antara wabak itu dan kes ketibaan pelancong yang dikuarantin dari luar negara atau dari gelombang kes pertama.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa wabak itu akan dapat ditangani secepat mungkin selepas berjaya menjejaki pesakit ketika penyakit tersebut mula-mula dikesan di negara itu.

“Ujian lanjutan dan pengesanan kontak rapat berjaya menentukan kes yang berlaku paling awal, iaitu sekitar 31 Julai lalu,” katanya. – AFP

Jacinda Ardern memberikan reaksi semasa sidang media di Wellington, New Zealand kelmarin. – AFP