Sekatan bawah 12 tahun akan difikirkan dalam fasa endemik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Pada masa ini, seperti mana yang diumumkan sebelumnya, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah atau sesiapa sahaja yang belum menerima vaksinasi lengkap tidak akan dibenarkan untuk memasuki premis-premis di negara ini.

Walau bagaimanapun, setelah negara beralih dan memasuki ke fasa seterusnya iaitu fasa endemik, perkara ini akan difikirkan kembali sama ada sekatan akan terus dilonggarkan atau dilonggarkan secara berfasa yang mana akan diumumkan kelak.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai kemudahan sukan yang akan dibenarkan semasa fasa peralihan nanti, Yang Berhormat Dato memperingatkan lagi agar sesebuah tempat kemudahan sukan
yang memiliki banyak fasiliti sukan di dalamnya untuk mengehadkan kepada hanya 50 peratus kapasitinya bagi setiap fasiliti yang terdapat di premis tersebut dalam satu masa.