Sekatan di Melbourne sehingga 26 Oktober

MELBOURNE, 6 SEPT – Perdana menteri negeri Victoria mengumumkan perintah berkurung akan mula dilonggarkan di Melbourne tetapi bandar kedua terbesar negara tersebut akan kekal berada di bawah perintah tersebut sekurang-kurangnya hingga 26 Oktober.

Pihak polis menahan penunjuk perasaan yang melakukan serangan selepas seorang pegawai mengalami kecederaan di bahagian kepala semasa tunjuk perasaan anti perintah berkurung di Melborune kelmarin.

Pihak polis berkata tujuh lagi didakwa dengan melanggar sekatan COVID-19 selepas kira-kira 200 orang berhimpun di Shrine of Remembrance dan Taman Albert. Pertempuran di antara para penunjuk perasaan dan pihak polis telah menyebabkan 160 individu disaman kerana melanggar arahan perintah berkurung atau tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Walaupun diberikan semua amaran, ia sangat mengecewakan untuk melihat individu-individu keluar untuk menunjuk perasaan di bandar, meletakkan nyawa penduduk Victoria di bawah risiko,” menurut kenyataan polis.

Hari ini, pegawai kesihatan berkata Victoria mencatatkan 63 kes baharu dan lebih dari lima kematian, sekali gus membawa jumlah kematian di negeri tersebut kepada 666 orang dan angka kematian di seluruh negara kepada 753 orang.

Perdana menteri Victoria, Daniel Andrews berkata bermula 13 September, perintah berkurung pada waktu malam akan bermula pukul 9 malam dan berakhir pada 5 pagi.

Orang yang tinggal bersendirian boleh menemani rakan atau keluarga yang boleh mengunjungi mereka. Melakukan senaman selama dua jam adalah dibenarkan, termasuk interaksi sosial seperti berkelah di taman dan membaca buku di tempat awam. – AP