Saturday, January 25, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekatan dibatalkan susulan tunjuk perasaan Palestin

    BAITULMAQDIS, 26 APRIL – Polis Israel semalam membenarkan rakyat Palestin memasuki kawasan pejalan kaki di sekitar Kota Lama yang dirampas Israel di bandar ini, kata seorang wartawan AFP, satu langkah yang bertujuan meredakan ketegangan selepas beberapa hari pertempuran.

    Ratusan rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di pintu gerbang Damsyik dan polis membenarkan mereka membatalkan sekatan yang menghalang akses ke kawasan pejalan kaki.

    Polis menggunakan alat pembesar suara untuk mengumumkan kawasan itu terbuka kepada semua orang.

    Sejak permulaan Ramadan pada 13 April lalu, gangguan terjadi setiap malam, di tengah-tengah kemarahan rakyat Palestin terhadap akses yang disekat.

    Satu siri video dimuat naik dalam talian, yang menunjukkan golongan muda Arab menyerang Yahudi ultra Ortodoks dan ektremis Yahudi turun ke jalan untuk membuli orang Arab.

    Ketegangan meningkat pada Khamis apabila penunjuk perasaan berhaluan kanan yang marah dengan gelombang serangan Palestin terhadap orang Yahudi di Baitulmaqdis, berarak ke Kota Lama dengan melaungkan “kematian kepada orang Arab.”

    Lebih 100 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan polis dan puluhan ditangkap.

    Keganasan itu adalah yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun antara polis Israel dan rakyat Palestin di Kota Suci yang dipertikaikan, dengan penduduk Palestin melemparkan batu dan botol ke arah pegawai, yang bertindak balas dengan membaling bom tangan serta meriam air.

    Pertempuran berlaku lagi pada Jumaat selepas jemaah meninggalkan Masjid Al-Aqsa selesai solat pada sebelah malam.– AFP

    Pembantah Palestin mengibar bendera kebangsaan ketika mereka berkumpul berhampiran Pintu Gerbang Damsyik di Kota Lama Baitulmaqdis pada 25 April 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda