Thursday, February 13, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekatan: Empat kompaun dikeluarkan

    Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Hajah Saemah

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Empat kompaun dan tujuh peringatan telah dikeluarkan kepada pemandu-pemandu yang didapati melanggar Akta Kesalahan Lalu Lintas dalam Operasi Koordinasi sekatan jalan raya sempena cuti awam, semalam.

    Operasi yang dikendalikan oleh Daerah Polis Brunei dan Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) itu dijalankan di beberapa lokasi berasingan Bandar Seri Begawan, Berakas, Sengkurong, Lumapas dan Limau Manis.

    Seramai 80 orang anggota terlibat dalam operasi yang melibatkan lima buah Balai Polis iaitu Balai Polis Pusat, Balai Polis Berakas, Balai Polis Sengkurong, Balai Polis Limau Manis dan Balai Polis Kampong Ayer.

    Matlamat utama operasi adalah untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi pencegahan jenayah di samping memberikan kesedaran kepada para pengguna jalan raya akan kepentingan perundangan negara yang perlu dipatuhi terutamanya yang berhubung kait dengan Akta Peraturan Kesalahan Lalu Lintas.

    Sementara itu, operasi sekatan jalan raya juga telah dijalankan di Daerah Tutong dan Daerah Belait, baru-baru ini.

    Semasa operasi sekatan jalan raya dijalankan di Daerah Belait dan Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar oleh Pasukan Polis Diraja Brunei

    Di Daerah Belait, seramai 11 orang anggota Ibu Pejabat Daerah Polis Belait menjalankan Operasi Sekatan Jalan Raya di kawasan Lorong 14 Panaga, Seria, yang bermula pada jam 10 malam.

    Daripada operasi berkenaan, seorang pemandu telah dikeluarkan surat peringatan dan tidak ada kesalahan kompaun telah dilaporkan.

    Pada malam yang sama, operasi serupa turut dikendalikan oleh 19 orang anggota anggota Balai Polis Tutong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani.

    Operasi sekatan yang menjurus kepada pencegahan jenayah itu dijalankan di kawasan jejambat Bukit Beruang, Tutong.

    Berikutan operasi itu, sembilan kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan lesen memandu yang mansuh, memasang pelekat plastik filem (Tinted) dan lain-lain. Selain itu, seorang pemandu telah dikeluarkan surat peringatan dan dikehendaki untuk hadir ke balai untuk tindakan selanjutnya.

    Sehubungan itu, PDB mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan negara ini.

    PDB juga tidak akan kendur-kendur dalam memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, memandu dengan berhati-hati, bertimbang rasa kepada pengguna yang lain termasuk penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki dan yang amat penting ialah menanamkan sifat menghargai nyawa orang lain.

    Dengan itu, kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan dan tahap kesedaran serta disiplin pengguna dapat dipertingkatkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda