Sekatan jalan raya dipergiat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Dua orang pemandu telah dikenakan kompaun dalam operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) sempena cuti kelepasan awam pada hari pertama umat Islam di negara ini menjalankan ibadah puasa, kelmarin.

Kompaun dikeluarkan atas kesalahan cukai jalan mansuh dan kesalahan kenderaan yang tidak bersesuaian dari segi struktur digunakan bagi tujuan lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan PDB.

Dalam operasi yang dijalankan di kawasan berdekatan Masjid Zainab Kampung Lumut itu, sebanyak 14 buah kenderaan telah diperiksa.

Operasi diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Nazmi bin Haji Ismail dengan melibatkan lapan orang anggota balai.

PDB dalam kenyataannya turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandu jika dalam keadaan mengantuk serta hendaklah sentiasa melakukan pemeriksaan dan memastikan kenderaan selamat untuk dipandu.

Kenyataan menekankan agar pengguna jalan raya tidak mementingkan diri sendiri, tanamkan sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa, tanggungjawab hendaklah ditanai dalam menjaga keselamatan diri serta orang lain semasa memandu.

PDB ketika menjalankan operasi sekatan jalan raya kelmarin.