Sekatan koronavirus dikenakan semula di AS

HOUSTON, 25 JUN – Pegawai Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan langkah ketat termasuk kuarantin dan nasihat duduk di rumah tatkala kes koronavirus harian mencecah tahap rekod selepas meningkat di seluruh negeri Selatan dan Barat.

Hampir empat bulan selepas melaporkan kematian pertama akibat COVID-19, AS berdepan krisis kesihatan semakin meruncing apabila gelombang jangkitan melanda penduduk muda Amerika dan pakar mengeluarkan amaran baharu.

Lebih 35,900 kes dicatat dalam tempoh 24 jam lalu, menurut satu pengiraan oleh Universiti John Hopkins, dengan negeri yang mempunyai penduduk padat termasuk Florida, Texas dan California semuanya melaporkan kes rekod harian.

Ekonomi terbesar dunia itu telah pun menjadi negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik, dengan angka kematian mencecah hampir 122,000.

Beberapa pegawai, termasuk gabenor Texas, yang melonggarkan sekatan ke atas perniagaan, restoran, perhimpunan awam dan pelancongan, kini menggesa penduduk supaya tinggal di rumah sekali lagi.

Tiga negeri timur laut yang mencatat kemajuan dalam mengawal pandemik, New York, New Jersey dan Connecticut, menggesa pelawat yang tiba dari pusat penularan AS dinasihatkan supaya menjalani kuarantin.

Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata nasihat itu membabitkan pelawat dari Alabama, Arkansas, Arizona, Florida, Carolina Selatan, Carolina Utara, Utah dan Texas. – AFP