Sekatan minyak sawit Malaysia tidak jejaskan industri komoditi

MELAKA, 6 APRIL – Sekatan Sri Lanka ke atas import minyak sawit Malaysia yang diumumkan kelmarin dijangka tidak menjejaskan industri komoditi utama Malaysia memandangkan pasarannya semakin berkembang di beberapa negara lain seperti Afrika dan di Timur Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata permintaan terhadap minyak sawit negara juga semakin meningkat di Filipina dan Vietnam, sekali gus membuktikan kualiti komoditi itu menjadi antara faktor yang membantu memperluas pasaran di peringkat global.

“Dunia mempunyai populasi rakyat melebihi tujuh bilion justeru minyak sawit Malaysia serta yang dikeluarkan Indonesia dan lima negara lain yang sedang bergerak ke arah industri sawit cukup untuk menampung keperluan dunia.

“Kita yakin minyak sawit kita pasti diterima di dunia.

“Kalau seorang tidak berminat, ramai lagi yang berminat dan yang penting kita berikan kualiti terbaik pada pengeluaran minyak sawit negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Lembaga Koko Malaysia dan melancarkan kiosk coklat di Hotel Lacrista di sini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia Dr Aliakbar Gulasan. – Bernama