Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Sekatan pergerakan berakhir 1 April

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan bahawa Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 akan dilanjutkan lagi hingga 15 April depan.

    Pelanjutan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Pada masa yang sama Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan bahawa sekatan pergerakan yang dilaksanakan semasa Operasi Peralihan iaitu arahan untuk berada di atau kediaman masing-masing dari 12 tengah malam hingga 4 pagi tidak lagi dilanjutkan bermula 1 April ini.

    Ini bermakna bahawa Operasi Peralihan atau Operasi Pulih akan ditamatkan setelah enam bulan negara mula melaksanakannya sejak 1 Oktober 2021, tambah beliau.

    “Di kesempatan ini, alhamdulillah, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat berbesar hati dan seterusnya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, khasnya agensi-agensi penguatkuasaan keselamatan, swasta, persatuan-persatuan bukan kerajaan, sukarelawan dan orang ramai atas sokongan dan kerjasama mereka dalam sama-sama mendukung hasrat kerajaan dan menghulurkan bantuan, selama mana operasi berkenaan dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Menurut beliau lagi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan terus membuat pemantauan terhadap situasi terkini jangkitan COVID-19 serta akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan pelbagai langkah yang bersesuaian dibuat bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...