WHO: Sekatan pergerakan perlu dilonggarkan dengan hati-hati

GENEVA, 7 MEI – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada hari ini memberi amaran langkah untuk melonggarkan sekatan pergerakan perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian berikutan semakin banyak negara kini mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan pergerakan. “Risiko untuk kembali semula kepada sekatan pergerakan sangat tinggi jika negara tidak menguruskan fasa peralihan dengan berhati-hati dan secara bertahap,” katanya pada sidang media dalam talian di Geneva.

Pada sidang media itu, beliau sekali lagi mengulangi enam kriteria yang disyorkan WHO untuk dipertimbangkan negara yang berniat melonggarkan sekatan pergerakan.

Ia termasuk penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan; langkah pencegahan diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini. – Bernama