Monday, August 15, 2022
23 C
Brunei

‘Sekatan pergerakan tidak akan berakhir’

-

SHANGHAI, 2 JUN – Dikurung di rumah mereka ketika sebahagian wilayah lain meraikan kebebasan, ratusan ribu penduduk Shanghai mendapati laluan keluar daripada sekatan pergerakan lebih rumit daripada kemenangan yang dilaungkan oleh media kerajaan China.

Metropolis dengan 25 juta penduduk itu telah ditutup sebahagiannya bermula lewat Mac selepas menjadi pusat utama penularan COVID terburuk dalam tempoh dua tahun.

Selepas peraturan dilonggarkan secara beransur-ansur beberapa minggu lalu, pihak berkuasa kelmarin membenarkan penduduk di kawasan kurang berisiko untuk bergerak bebas sekali lagi.

Tetapi ketika kebanyakannya meraikan dengan parti tepi jalan dan membeli-belah sakan, sebahagian penduduk di bandar itu kekal dorman dengan beberapa kejiranan kembali dikenakan perintah berkurung hari ini berhubung jangkitan baharu.

Liu, seorang wanita berusia 29 tahun dari daerah Minhang, Shanghai memberitahu AFP yang kawasan apartmennya telah ditutup kembali pagi ini selepas seorang lelaki dalam bangunan tersebut menunjukkan keputusan ujian COVID yang tidak normal.

Seorang pegawai (kiri) berdiri mengawal jalan kejiranan yang ditutup setelah mengesan jangkitan COVID di daerah Jing’an di Shanghai pada 2 Jun. – AFP

Dia berkata, jiran-jirannya yang terkejut mengecam ruang sembang kumpulan kawasan itu dengan mengadu sekatan pergerakan itu ‘tidak akan berakhir’, sementara ramai yang berada di pagar menunggu penghantaran komputer riba yang mereka tinggalkan di pejabat kelmarin – hari pertama kembali ke pejabat.

“Saya baru saja berasa gembira satu hari kelmarin,” kata Liu.

Kawasan lain di tengah daerah Jing’an, pagarnya telah dirantai malam kelmarin, selepas konfrontasi antara penduduk dan pegawai.

Pihak berkuasa berkata lebih separuh juta orang masih lagi di bawah sekatan pergerakan, yang akan dikenakan semula sekatan apabila adanya jangkitan disyaki atau disahkan muncul.

Di bawah pendekatan sifar COVID China, semua kes positif diasingkan begitu juga kontak rapat – biasanya melibatkan keseluruhan bangunan atau komuniti di tempat mereka tinggal – akan tertakluk dikenakan kuarantin.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa salah seorang pengurus syarikat di Shanghai cuba untuk mengelak peraturan tersebut selepas kakitangannya menunjukkan keputusan ujian abnormal. Dia mengarahkan pekerja itu bersembunyi di pinggir bandar sebelum dikesan oleh polis.

Menurut kenyataan itu, pengurus terbabit ‘bimbang operasi syarikat tersebut akan terjejas’. – AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -