Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Sekatan Rusia pengaruhi pelancongan Cuba

    VARADERO, CUBA – Sekatan antarabangsa terhadap Rusia disebabkan pencerobohan ke atas Ukraine boleh memberi kesan yang meluas kepada sekutunya di Amerika Latin seperti Cuba, kata pakar.

    Sejak pandemik COVID-19, pelancong Rusia telah menjadi kumpulan tunggal terbesar pelawat ke negara pulau itu tetapi peristiwa berlaku di tanah air mereka telah membuatkan ramai orang tidak sabar-sabar untuk pulang.

    “Apa yang kami mahu ialah pulang dengan tenang dan tepat pada masanya,” kata wartawan, Evgenia Darovskaya, 43, kepada AFP di Varadero, sebuah bandar peranginan pantai berhampiran Havana.

    Selepas bercuti selama dua minggu bersama keluarga, dia sepatutnya terbang pulang kelmarin.

    Tetapi perjalanan itu menjadi lebih rumit selepas Kesatuan Eropah menutup ruang udaranya kepada pesawat dan syarikat Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan yang bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Rusia.

    Sebuah kereta pelancongan lama Amerika meronda di sepanjang jalan di Varadero, Cuba pada 28 Februari lalu. – AFP
    Pelancong Rusia melawat Saint Francisco de Asis di Old Havana, Cuba pada 28 Februari lalu. – AFP

    Rusia bertindak balas dengan menyekat ruang udara ke atas 35 negara Eropah dan Kanada.

    Menurut Juan Gonzalez, pengarah kanan hemisfera barat di Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), sekatan Rusia bertujuan untuk juga menjejaskan sekutunya.

    “Sekatan terhadap Rusia ini sangat teguh sehinggakan ia akan memberi kesan kepada negara-negara yang mempunyai hubungan ekonomi dengan Rusia dan itu adalah niatnya,” kata Gonzalez kepada Voz de America.

    “Venezuela akan mula merasakan tekanan ini, Nicaragua akan merasakan tekanan ini dan begitu juga Cuba.”

    Beliau berkata sekatan AS terhadap 13 institusi kewangan Rusia ‘tidak boleh gagal memberi kesan kepada mana-mana kerajaan atau perniagaan yang menjalankan perniagaan dengan institusi ini’.

    Pakar percaya bahawa banyak lagi negara Amerika Latin juga boleh terjejas jika sekatan menyasarkan eksport minyak Rusia.

    Satu hambatan kepada pelancongan

    Selepas menikmati tempoh percutian di Cuba, Darovskaya mengakui kebimbangan atas kepulangannya.

    “Sudah tentu kami berasa takut kerana tiada siapa yang mahu perang untuk anak-anak mereka,” katanya.

    Penutupan ruang udara sudah mula memberi kesan.

    Syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot Isnin lalu menggantung penjualan tiket ke Cuba, Mexico dan AS manakala Azur Air menghentikan penerbangan ke Cuba, Mexico dan Republik Dominika, menurut Prensa Latina.

    Ini bermakna pemandangan orang Rusia yang memenuhi pantai Varadero mungkin hilang.

    “Saya tidak bersetuju dengan penutupan ruang udara tetapi kami tidak bimbang untuk tinggal bersama awda kerana mereka sangat mesra,” kata pekerja logam, Dxana Lapushkina, 35.

    “Perang adalah sesuatu yang lain, ia adalah kesakitan.”

    Setelah melihat industri pelancongannya musnah akibat wabak itu, Cuba kini bersiap sedia untuk menghadapi kesakitan ekonomi baharu.

    Negara pulau itu menyaksikan peningkatan hampir 200 peratus dalam pelancong Rusia dari 2020 hingga 2021 apabila negara itu dibuka semula berikutan sekatan yang dikuatkuasakan oleh COVID-19, menjadikan mereka kumpulan tunggal terbesar dengan lebih 146,000.

    Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan mendadak dalam pelancong Kanada daripada lebih 413,000 pada 2020 kepada hanya di bawah 69,000 pada tahun berikutnya.

    Terjejas oleh krisis ekonomi terburuknya dalam 30 tahun, Cuba bergantung pada pelancongan – dan Rusia khususnya – untuk memulihkan ekonominya.

    Tetapi perang di Ukraine “akan memberi satu lagi tamparan kepada pelancongan antarabangsa, untuk Cuba dan rantau Caribbean, meningkatkan lagi ketakutan untuk mengembara,” kata pakar pelancongan, Jose Luis Perello. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...