Sekatan Tahap Dua dilanjutkan seminggu lagi

NEW ZEALAND, 14 SEPT – Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengumumkan sekatan yang dikenakan akibat COVID-19 dilanjutkan seminggu lagi sehingga 21 September, menurut Agensi Berita Sputnik.

New Zealand akan kekal di bawah peraturan sekatan Tahap Dua, kata Ardern pada sidang media yang disiarkan menerusi Facebook pada hari ini.

Sementara itu, bandar raya Auckland berada di bawah Tahap 2.5 hingga 23 September, kata perdana menteri.

Mesyuarat Kabinet pada Isnin depan akan menilai semula keadaan COVID-19 di New Zealand dan sama ada sekatan akan diturunkan kepada Tahap Satu.

Menurut Ardern, mulai hari ini juga syarat penjarakan fizikal dalam pesawat dan pengangkutan awam dilonggarkan namun, pemakaian penutup mulut dan hidung masih dikuatkuasakan.

Pada Sabtu, ribuan penunjuk perasaan menyertai demonstrasi aman membantah sekatan di Auckland.

Menurut Kementerian Kesihatan hanya satu kes baharu didaftarkan di negara ini dalam 24 jam yang lalu.

Setakat ini, New Zealand mencatatkan sejumlah 1,447 kes COVID-19 dengan 24 kematian. – Bernama