OUREM, PORTUGAL, 11 JULAI – Sekitar 2,800 anggota bomba bekerja keras memadam kebakaran hutan di pusat dan utara Portugal di tengah-tengah berlaku gelombang panas kelmarin, mendorong kerajaan untuk melaksanakan ‘keadaan luar jangkaan’.
Kebakaran tersebut telah menjejaskan beberapa kawasan sejak Khamis lalu, memusnahkan dua buah rumah. Hampir 250 kebakaran dilaporkan bermula pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Kebakaran yang semakin marak itu berlaku di tengah-tengah gelombang panas yang melanda Portugal, dengan suhu yang mencecah lebih 40 darjah Celsius pada minggu ini dan dijangka meningkat pada hari-hari berikutnya.
Para saintis berkata kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang panas dan kemarau berkaitan perubahan iklim dan dijangka berlaku dengan kerap, lebih lama dan teruk pada masa akan datang.
Kerajaan Portugal kelmarin telah mengeluarkan ‘rancangan luar jangkaan’, yang meletakkan perkhidmatan penyelamat dalam keadaan bersedia. Agensi Perlindungan Awam berkata kira-kira 1,500 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di majlis perbandaran Ourem, Pombal dan Carrazeda de Ansiaes.
Lebih 700 tentera dikerahkan ke kawasan terjejas kelmarin selepas 1,500 hektar hutan musnah, kata agensi Perlindungan Awam.
Kejadian itu juga mengakibatkan kira-kira 40 anggota bomba dan awam tercedera. Kebanyakannya dirawat kerana mengalami masalah pernafasan. – AFP