Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekitar 500 katil ditambah ke sistem penjagaan kesihatan Singapura

    SINGAPURA, 3 OKT – Kementerian Kesihatan Singapura telah menambah hampir 500 katil untuk mengurangkan masalah katil, dan berada di landasan untuk membuka sekitar 800 katil lagi menjelang akhir tahun.

    Hampir 500 katil terdiri daripada 30 di hospital akut, 90 di hospital komuniti, 20 di Penjagaan Pesakit Dalam Mudah Alih @ Rumah dan lebih 350 di rumah jagaan.

    Ia diumumkan oleh Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung pada pembukaan Hab Penjagaan Bersepadu Hospital Tan Tock Seng (TTSH-ICH) pada kelmarin.

    Beliau berkata sistem penjagaan kesihatan awam telah mengalami sedikit tekanan selepas pandemik COVID, dan ia sebahagiannya disebabkan kelewatan dalam pembangunan infrastruktur dan peningkatan bilangan pesakit di hospital untuk penyakit lain berikutan COVID.

    Pada bulan April, pesakit yang memerlukan kemasukan ke hospital telah menunggu lebih lama untuk mendapatkan katil kerana jumlah pesakit COVID dan bukan COVID yang tinggi. Kementerian itu berkata purata masa menunggu meningkat daripada lima jam kepada 7.2 jam.

    “Kami telah meneroka cara untuk menambah katil kepada kapasiti penjagaan kesihatan kami menjelang akhir tahun ini. Saya mengumumkan sebelum ini bahawa kami berhasrat untuk mencari ruang di hospital sedia ada untuk menambah lebih banyak katil akut, dan membuka lebih banyak katil hospital komuniti, Penjagaan Pesakit Dalam Mudah Alih @ Rumah, kemudahan penjagaan peralihan, serta rumah penjagaan,” kata Encik Ong.

    Kapasiti tambahan kira-kira 1,300 katil adalah bersamaan dengan 1.5 hospital serantau apabila ia direalisasikan menjelang akhir tahun, tambahnya.

    Kementerian Kesihatan Singapura akan terus memantau kedua-dua pembangunan infrastruktur dan aliran masuk tenaga kerja bagi memastikan ia meningkat seiring. – ANN/ The Straits Times

    Menteri Kesihatan Singapura semasa berinteraksi dengan seorang pesakit di Hab Penjagaan Bersepadu Hospital Tan Tock Seng yang baharu. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda