MEKAH, 18 JULAI – Jemaah haji mula berada di kota suci Mekah hari ini, bagi menunaikan ibadah haji dan merupakan tahun kedua jemaah haji dikurangkan akibat koronavirus.
Arab Saudi hanya membenarkan sekitar 60,000 warga dan penduduk kerajaan yang divaksinasi sepenuhnya untuk menunaikan ibadah berkenaan, jauh lebih sedikit berbanding pada waktu-waktu biasanya, ketika musim haji biasanya menarik sekitar 2.5 juta jemaah.
Sejak kelmarin, sekumpulan jemaah telah melakukan tawaf di Masjidil Haram Mekah, mengelilingi Kaabah.
Setelah itu, para jemaah berjalan menuju ke Mina, di mana mereka akan bermalam di sana.
“Seramai 46,000 jemaah telah tiba di Mina,” kata Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdelfattah bin Suleiman Mashat kepada AFP hari ini.

“Jumlah jemaah wanita yang menunaikan haji tahun ini melebihi 40 peratus,” tambahnya.
Mina yang dikelilingi oleh pergunungan berbatu dan setiap tahun berubah menjadi tempat perkhemahan yang luas untuk para jemaah.
“Pasukan kesihatan awam memantau status kesihatan jemaah sepanjang waktu mereka berada di Mekah,” kata Sari Asiri, pengarah jabatan haji dan umrah di kementerian kesihatan.
Sesiapa yang dijangkiti akan dibawa ke tempat pengasingan, tambahnya.
Di kemuncak ibadah haji, para jemaah Isnin ini akan mendaki Gunung Arafah.
Juga dikenali sebagai ‘Gunung Rahmat’, di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.
Para jemaah haji akan melakukan solat dan membaca Al-Quran serta keesokan harinya, para jemaah haji akan melontar jamrah.
Haji adalah perhimpunan keagamaan tahunan terbesar di dunia, adalah salah satu daripada lima rukun Islam dan wajib dilakukan oleh semua umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. – AFP
































