Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Kira-kira 70 orang jemaah Masjid RPN Lambak Kanan termasuk jemaah wanita menyertai riadah amal sempena Hari Keluarga Kebangsaan yang berlangsung di kawasan masjid berkenaan, hari ini.
Acara tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Lambak Kanan dengan kerjasama MK Fashion Sport House & Embroidery.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah diikuti dengan Tazkirah Khas Hari Keluarga yang disampaikan oleh da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Nazirul Mubin bin Ahad.
Sesi riadah kemudiannya dimulakan dengan sesi memanaskan badan yang diketuai oleh imam masjid, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.
Hasil kutipan daripada riadah amal berkenaan kemudiannya akan disumbangkan kepada saudara-saudara baru.