Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Sekolah Arab terima 486 pelajar baharu

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Seramai 486 orang pelajar baharu telah diterima masuk ke sekolah Arab di seluruh negara dan sesi pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baharu Sanah 5 bagi penggal baharu persekolahan 2023 telah diadakan serentak, hari ini.

    Daripada jumlah tersebut, 213 adalah pelajar lelaki dan 255 adalah pelajar perempuan yang mana 213 pelajar mengikuti pengajian di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB) dan 180 orang pelajar di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB).

    Manakala Mahad Islam Brunei, Tutong menerima 39 pelajar baharu, Sekolah Arab Belait menerima 21 pelajar dan 15 pelajar baharu mengikuti pengajian di Sekolah Arab Temburong.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hadir
    menyaksikan sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu di SASHHB.

    Turut menyertai rombongan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar, dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pengajian Islam (JPI).

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa berinteraksi bersama salah seorang pelajar baharu.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berinteraksi bersama pelajar baharu semasa lawatan ke SASHHB.

    Rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Pengetua SASHHB, Haji Mohd Norhisyam bin Haji Mohd Noor.

    Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Pehin berkunjung ke kelas-kelas pelajar Sanah 5, berinteraksi bersama para pelajar dan ibu bapa, menyaksikan aktiviti kokurikulum di surau sekolah dan aktiviti Bahasa Arab di perpustakaan sekolah.

    Selain itu, Yang Berhormat Pehin menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh pemangku pengetua dan sesi muzakarah bersama pentadbir sekolah dan guru-guru.

    Pada tahun ini, jumlah keseluruhan pelajar dari Sanah 5 hingga 11 di SASHHB adalah seramai 1,832 orang pelajar.

    Sementara itu, hadir bagi menyaksikan sesi pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baharu Sanah 5 di SPABSB ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Turut sama menyertai rombongan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang serta pegawai-pegawai kanan JPI.

    Rombongan dialu-alukan oleh Guru Besar, Pengiran Haji Hasinol Zamri bin Pengiran
    Haji Piut.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim turut membuat lawatan ke kelas-kelas pelajar Sanah 5, berinteraksi bersama pelajar-pelajar dan ibu bapa, seterusnya menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh guru besar dan sesi muzakarah bersama pentadbir sekolah dan guru.

    Jumlah keseluruhan pelajar dari Sanah 5 dan 6 di sekolah itu adalah seramai 536 orang pelajar.

    Kewujudan sekolah-sekolah Arab di negara ini adalah sangat signifikan dalam usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi khususnya dalam bidang
    agama dan seterusnya dapat berperanan dalam mengukuhkan penghayatan hidup beragama di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...