Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Sekolah canggih lahir gembala abad ke-21

    CASAR DE CACERES, SEPANYOL – Dengan memegang kuat seekor kambing biri-biri di celah kakinya, Vanesa Castillo memegang kepalanya dengan satu tangan sementara dia cuba mengetam bulu tebal di tengkuknya dengan pengetam elektrik.

    “Ia menakutkan,” kata Castillo, 37, berasa agak gentar pada percubaan pertama mengetam di sebuah sekolah untuk gembala di barat Sepanyol.

    “Awda perlu menarik kulit haiwan dengan tegang, benar-benar melakukannya secara perlahan, supaya awda tidak terpotong kulitnya,” jelas Jose Rivero, pengetam kambing biri-biri profesional yang menganjurkan kursus berkenaan.

    Mengetam kambing biri-biri hanya satu daripada beberapa kelas yang ditawarkan di sekolah di Casar de Caceres di kawasan luar bandar Extremadura untuk menangani masalah perpindahan penduduk dari kawasan yang telah meninggalkan sebahagian besar pedalaman Sepanyol dengan kawasan yang sangat kurang penduduk.

    Ditubuhkan pada 2015, ideanya adalah untuk “membawa masuk orang yang suka kawasan desa,” kata Enrique ‘Quigue’ Izquierdo, yang menguruskan sekolah itu.

    Pengetam profesional Jose Rivero (kanan) memberikan arahan kepada pelajar Thibaut Gohier ketika dia belajar mengetam bulu biri-biri di sekolah gembala Cooprado di Casar de Caceres. – AFP
    Para pelajar menghadiri sekolah gembala di Casar de Caceres. – AFP

    Susu kambing biri-biri diperah di sekolah gembala di Casar de Caceres. – AFP

    Ia bertujuan menawarkan segala latihan dan sumber yang diperlukan untuk melahirkan ‘gembala abad ke-21…dengan kaedah terkini dalam sektor di mana proses tradisional dan canggih bergabungan.

    Kebanyakan penternakan kambing biri-biri dan kambing di Sepanyol bertumpu di kawasan pergunungan Extremadura. Sekolah di Casar de Caceres adalah satu daripada beberapa buah sekolah di seluruh negara, pertama ditubuhkan di utara negara Basque pada 1997.

    “Imej tradisional seorang gembala merayau-rayau di ladang sepanjang hari tidak wujud lagi,” menurut Jurgen Robledo, seorang doktor haiwan yang berkata para pelajar diajar bagaimana menggunakan pelbagai peralatan canggih termasuk program kawalan susu.

    Pada tahun ini, 10 pelajar sedang mengikuti kursus lima bulan yang juga termasuk pengalaman langsung bekerja dengan haiwan berkenaan.

    Thibault Gohier, 26, sedang mempelajari bagaimana memerah susu kambing dan mengenal pasti sama ada mana-mana haiwan berkenaan sakit, yang mungkin menjejas kualiti susu.

    “Awda perlu menggunakan hujung jari seolah-olah ia adalah mata awda,” kata Felipe Escobero, yang mengetuai ladang tempat terletaknya sekolah, ketika mereka merasa nodus limfa seekor kambing hitam di atas tetek.

    “Apabila kambing adalah sihat, nodus limfa harus rasa seperti kacang badam,” tambah Escobero.

    Kursus yang ditawarkan juga meliputi isu-isu kewangan dan cara-cara mengisi sijil memperakui kesejahteraan haiwan atau pun penggunaan racun perosak.

    Ditawarkan secara percuma, ia dibiayai oleh koperasi penternak Cooprado.

    Robledo berkata peralatan moden bermakna gembala kini boleh mengukur pengeluaran susu setiap haiwan.

    “Data sedemikian membenarkan seorang petani melihat sama ada pengeluaran telah berkurangan disebabkan jangkitan ‘mastitis subclinical’ dengan mengesan kemerosotan penghasilan dalam sesetengah haiwan.”

    Berlainan dengan mastitis normal, jangkitan tersebut tidak mengakibatkan sebarang perubahan ketara dalam susu atau rupa tetek.

    Beberapa pelajar telah pun bekerja dalam bidang perladangan dan ingin membuat kerja-kerja khusus, sementara yang lainnya masih baharu dalam bidang berkenaan, seperti Vanesa Castillo, yang sedang mengikuti kursus tersebut bersama anak perempuannya yang berusia 17 tahun, Arancha Morales.

    Pada mulanya bekerja di sebuah rumah orang tua sehingga ia ditutup dua tahun lalu, mendorongnya bergegas mencari kerja, dan impiannya sekarang adalah memiliki sebuah ladang kambing biri-biri.

    “Kami sedang mencari cara baharu untuk memperoleh pendapatan,” kata anak perempuannya, dengan bapanya tidak dapat bekerja selepas terbabit dalam satu kemalangan.

    Kedua-dua wanita itu sedar mereka berdepan perjalanan sukar, terutamanya mencari sebidang tanah yang mampu dibeli untuk ternakan mereka, satu masalah yang umum di seluruh Extremadura.

    Thibault Gohier datang dari latar belakang yang amat berlainan.

    Seorang pemuda Perancis yang suka haiwan dan kawasan desa, cita-citanya adalah ‘menikmati sarapan di sebuah ladang kecil dengan kira-kira 30 ekor haiwan’ di kawasan pergunungan Perancis.

    Tatkala pelajar lain belajar cara-cara mengetam bulu biri-biri, El Ouardani El Boutaybi pula memberikan makan kepada puluhan kambing yang sedang melompat-lompat di sekitar kandangnya.

    “Saya menjalani kursus praktikal di sekolah gembala pada Jun 2020 dan seterusnya mereka mengambil saya untuk bekerja dengan mereka,” kata pemuda berusia 20 tahun itu, yang datang dari bandar tepi laut Nador di timur laut Maghribi.

    Dia berjaya sampai ke Sepanyol pada 2017 selepas menyeberangi ke enklaf Sepanyol Melilla di Afrika Utara, di mana dia menghabiskan masa di sebuah pusat untuk orang di bawah umur sebelum dipindah ke semenanjung.

    “Saya mempunyai masa depan cerah bekerja di kawasan desa,” katanya dengan bangga. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...