Sekolah Chung Hwa Kiudang terima kunjungan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Sekolah Chung Hwa, Kiudang

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, kelmarin, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Chung Hwa Kiudang.

Ketibaan Puan Yang Terutama dialu-alukan oleh Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah Chung Hwa Kiudang, Sii Tai Chuong, ahli-ahli lembaga sekolah dan pengetua, Loo Shee Yun.

Semasa lawatan itu, Sii Tai Chuong dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada PYT Yu Hong dan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam yang memberikan peluang kepada pengetua dan guru-guru sekolah berkenaan untuk menyertai kursus-kursus latihan profesional dan kebudayaan di Guangzhou dan Beijing pada 2019.

Beliau menyatakan harapan, menerusi kerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam ia akan meningkatkan lagi pendidikan Cina di sekolah itu.

Manakala itu, PYT Yu Hong dalam ucapannya menyatakan perasaan amat tersentuh dengan video yang dihasilkan oleh murid-murid Sekolah Chung Hwa Kiudang pada awal tahun di mana mereka memberikan sorakan dan semangat kepada Wuhan dalam usaha menangani COVID-19.

PYT Yu Hong melawat bilik darjah dan diberikan penerangan semasa lawatan ke Sekolah Chung Hwa, Kiudang.
PYT Yu Hong menyampaikan sumbangan kepada Sii Tai Chuong.

Beliau menyatakan penghargaan kepada guru-guru serta murid sekolah atas sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada Wuhan.

PYT Yu Hong juga menyatakan bahawa Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam akan menyumbangkan sebanyak $10,000 untuk membantu perkembangan masa hadapan sekolah itu dan untuk mempromosikan lagi bahasa dan budaya Cina di negara ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seramai 69 orang murid yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Kaligrafi Cina Antarabangsa di mana mereka telah memenangi tujuh pingat emas istimewa, 14 pingat emas, 25 pingat perak, 20 pingat gangsa dan tiga pingat cemerlang.

Akhir sekali, beliau menyatakan harapan agar sekolah berkenaan akan terus mengambil bahagian dalam lebih banyak pertandingan yang dikendalikan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Pada majlis berkenaan, PYT Yu Hong juga menyampaikan Anugerah Penasihat Kehormat Sepanjang Hayat kepada Jackson Ting dari D’Sunlit Sdn Bhd, Chieng Ing Nang dari Bayu Ilham Motors Sdn Bhd dan Dr Andy Lau dari Aifa Sdn Bhd atas sokongan dan sumbangan berterusan mereka kepada sekolah berkenaan serta empat anugerah mengajar kepada empat orang guru Sekolah Chung Hwa Kiudang.

PYT Yu Hong juga berpeluang untuk mengadakan lawatan di sekolah berkenaan dan mengadakan pertukaran ringkas dengan ahli-ahli lembaga pentadbir.