Sekolah di Seoul kembali secara dalam talian

SEOUL, 25 OGOS – Korea Selatan hari ini mengarahkan semua sekolah dan tadika di wilayah Seoul untuk beralih ke kelas dalam talian ketika pihak berkuasa berusaha memerangi penularan COVID-19.

Pendekatan negara Korea ‘jejak, uji dan rawat’ untuk membendung virus telah dianggap sebagai model atau contoh global, tetapi sekarang berusaha untuk mengekang beberapa penularan wabak, yang kebanyakannya berkaitan dengan gereja-gereja Protestan.

Korea Selatan melaporkan 280 jangkitan baharu hari ini, menjadikan jumlah di negara itu kepada 17,945 kes.

Jumlah itu lebih rendah berbanding negara-negara yang teruk terjejas di dunia tetapi jumlah jangkitan meningkat kepada tiga angka dalam masa tiga hari berturut-turut selepas beberapa minggu hanya mencatat angka kes sekitar 30 ke 40 kes. Sebilangan besar kes baharu berpusat di bandar Seoul, yang menempatkan separuh daripada 52 juta orang penduduk di negara itu.

Pihak berkuasa kini berusaha untuk memperketat peraturan penjarakan fizikal dan mengatakan bahawa sekolah dan tadika di Seoul, Incheon dan wilayah Gyeonggi yang berdekatan akan beralih ke kelas dalam talian bermula esok hingga 11 September.

“Kemunculan jangkitan besar-besaran adalah membimbangkan sejak bulan Ogos terhadap pelajar dan kakitangan kami,” kata menteri pendidikan Yoo Eun-hae kepada wartawan.

Hampir 200 pelajar dan kakitangan sekolah telah dijangkiti virus itu dalam dua minggu terakhir, katanya. – AFP

Para ibu melihat anak-anak mereka masuk ke salah sebuah sekolah rendah di Seoul. Korea Selatan mengarahkan semua sekolah dan tadika di wilayah Seoul untuk beralih ke kelas dalam talian bermula dari 26 Ogos hingga 11 September. – AFP