Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah dibuka secara berperingkat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Sesi persekolahan penggal pertama 2022 bagi sekolah-sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah-sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah swasta akan bermula 3 Januari 2022 dengan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dijalankan secara berperingkat.

    Sementara itu, sekolah-sekolah antarabangsa dan pusat-pusat latihan, IBTE dan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan bermula mengikut kalendar akademik masing-masing.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin, menjelaskan bahawa pembukaan secara berperingkat itu bertujuan untuk memantau keadaan jangkitan wabak
    COVID-19 terlebih dahulu dalam kalangan pelajar-pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan institusi-institusi pendidikan tersebut sebelum ianya dibuka ke peringkat seterusnya.

    Selain itu, ia juga bagi membudayakan norma baharu dalam kalangan warga sekolah, IBTE, IPTA dan IPTS.

    “Pada peringkat pertama ini dan bagi menjaga kemaslahatan pelajar-pelajar serta warga sekolah, Kementerian Pendidikan telah menyediakan Whole School Modification Approach dan garis panduan serta langkah-langkah yang komprehensif bagi sekolah-sekolah melaksanakan pembukaan semula sesi persekolahan.

    School empty classroom with test sheet or exams paper on desks chair wood and greenboard at high school thailand, education test concept

    “Ini merupakan tambahan kepada pelan kelangsungan perniagaan (BCP) sekolah-sekolah yang sedia ada di mana pelajar, tenaga pengajar dan bukan tenaga pengajar yang telah lengkap menerima dua dos vaksin akan menjalani ujian pantas antigen (ART) seminggu sekali bermula daripada peringkat pertama pada Januari 2022 sehingga satu penilaian dibuat untuk perlaksanaannya diubah,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Dengan memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang telah lengkap divaksinasi, untuk hadir di sekolah secara bersemuka kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran adalah dibahagi kepada dua peringkat.

    Di peringkat pertama, iaitu bermula pada 3 Januari 2022, pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara bersemuka lima kali dalam seminggu bagi pelajar-pelajar Tahun 10 dan 11 termasuk pelajar-pelajar yang berkeperluan khas dalam priority level 1 hingga 2.

    Manakala bagi pelajar-pelajar dalam kategori priority level 3 tiga kali dalam seminggu.

    Ini sama juga bagi pelajar-pelajar Tahun 12 dan 13 dari pusat-pusat tingkatan enam.

    Sementara itu, menurut beliau lagi, pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar-pelajar lain adalah melalui kaedah dalam talian atau secara Home Learning Pack (HLP).

    “Peringkat pertama ini dijangka akan berlangsung sekurang-kurangnya dua minggu dan peralihan ke peringkat kedua adalah tertakluk kepada keadaan di mana tiada peningkatan penularan kes jangkitan wabak yang serius di kalangan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah serta nasihat daripada Jawatankuasa Pandu COVID-19.

    “Peringkat kedua yang dijangka akan bermula pada 17 Januari 2022, hanya akan dilaksanakan jika pemantauan menunjukkan tiada peningkatan penularan kes jangkitan wabak yang serius di kalangan pelajar-pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah semasa mereka berada di dalam premis sekolah serta berpandukan nasihat daripada Jawatankuasa Pandu COVID-19,” jelasnya.

    Di peringkat tersebut, menurut beliau, pengajaran dan pembelajaran adalah dilaksanakan secara bersemuka lima kali dalam seminggu bagi pelajar-pelajar yang lengkap dua dos vaksinasi serta kapasiti sekolah ditingkatkan dari 40 peratus kepada 100 peratus.

    Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara bersemuka lima kali dalam seminggu bagi pelajar-pelajar sekolah menengah termasuk pelajar-pelajar yang berkeperluan khas dalam priority level 1 hingga 2. Manakala bagi pelajar-pelajar dalam kategori priority level 3 tiga kali dalam seminggu.

    “Bagi pelajar-pelajar yang berumur lima hingga 11 Tahun (belum menerima vaksin), pengajaran dan pembelajaran adalah masih diteruskan melalui kaedah dalam talian atau HLP,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

    Dalam hal tersebut, beliau menjelaskan bahawa pelajar-pelajar yang masih mempunyai cabaran untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian akan terus disokong oleh pihak sekolah dengan memberikan HLP bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran yang sepatutnya.

    “Bagi pusat-pusat latihan, IBTE, IPTA dan IPTS, premis-premis akan dibuka untuk beroperasi melalui pelaksanaan Whole School Modification Approach serta berpandukan kepada Garis Panduan Fasa Endemik bagi Pengajian Tinggi dan Pusat Latihan (Awam dan Swasta),” tambahnya.

    “Pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan melalui kaedah hibrid, iaitu secara dalam talian dan bersemuka mengikut kesesuaian subjek dan modul; pelajar, tenaga pengajar dan individu yang mendapat satu dos vaksin dibenarkan untuk hadir ke kampus dengan mengambil ujian ART setiap selang hari dan mendapat keputusan negatif.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa sebanyak 98 peratus tenaga pengajar telah melengkapkan dua dos vaksin sehingga 11 Disember.

    Di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Pelajar-pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun pula, Yang Berhormat Dato berkata, setakat 3 petang kelmarin, seramai 30,455 iaitu 80 peratus orang pelajar telah menerima dos kedua vaksin.

    “Dengan usaha-usaha ini, pihak Kementerian Pendidikan menyeru bagi sokongan daripada semua pihak khasnya ibu bapa untuk terus memberikan kerjasama dalam memastikan keberkesanan segala usaha bagi membendung penularan pandemik ini demi menjamin kesejahteraan anak-anak di sekolah serta keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda