Sekolah dibuka semula di India

NEW DELHI, 1 OKT – Sekolah, pawagam dan kolam renang dibenarkan dibuka semula di India selepas sekatan koronavirus berbulan-bulan lamanya, kata kementerian hal ehwal dalam negeri semalam, walaupun apabila pakar mengingatkan negara itu dijangka menjadi negara paling ramai dijangkiti di dunia.

India, tempat tinggal kepada 1.3 bilion penduduk, telah mencatat lebih 6.2 juta kes setakat ini, di belakang Amerika Syarikat, dan lebih 97,000 kematian.

Namun kerajaan telah memulakan semula aktiviti secara bertahap untuk memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat sekatan, dengan jutaan orang, terutamanya penduduk miskin, kehilangan mata pencarian mereka.

Kelas untuk pelajar berusia 14 hingga 17 tahun dibenarkan disambung di sesetengah negeri pada minggu lalu, namun pengumuman baharu itu membabitkan semua sekolah.

“Untuk pembukaan semula sekolah dan institusi latihan, kerajaan negeri dan wilayah telah diberikan kelonggaran untuk membuat keputusan selepas 15 Oktober,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Pembelajaran dalam talian ‘akan digalakkan’ dan pelajar tidak boleh dipaksa untuk menghadiri kelas, tambahnya. – AFP