Sekolah dibuka semula di Korea Selatan

SEOUL, 20 MEI – Ratusan ribu pelajar Korea Selatan kembali ke sekolah hari ini apabila institusi pendidikan mula membukanya semula selepas penangguhan lebih daripada dua bulan akibat koronavirus.

Para pelajar berbaris untuk pemeriksaan suhu dan diberikan pensanitasi untuk mencuci tangan ketika mereka memasuki premis sekolah sementara guru-guru menyambut mereka dengan senyuman.

“Sungguh seronok bertemu semula dengan kawan-kawan dan guru saya, tetapi kami perlu mematuhi garis panduan disinfeksi yang ketat,” kata Oh Chang-hwa, presiden pelajar Sekolah Tinggi Kyungbock di Seoul.

“Saya rasa bimbang tetapi seronok kerana dapat berjumpa dengan mereka sekali lagi,” beritahu Oh kepada AFP.

Korea Selatan mengalami salah satu wabak virus paling teruk, mendorong pegawai menangguhkan pembukaan sekolah pada awal Mac.

Pelajar mengamalkan penjarakan sosial semasa mereka makan tengah hari di sekolah tinggi di Seoul kelmarin. – AFP

Namun ia nampaknya berjaya mengawal wabak disebabkan program ‘kesan, uji dan rawat.’

Kira-kira 440,000 pelajar tahun akhir, yang akan mengambil peperiksaan kemasukan universiti pada Disember, adalah kumpulan pelajar pertama yang kembali ke sekolah, dengan pelajar tahun lain menyusuli secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Dalam bangunan sekolah, pelajar diminta mengelap meja mereka dan duduk berasingan mengikut garis panduan penjarakan sosial, dengan beberapa kelas mendirikan pemisah plastik di antara meja.

“Kebimbangan mengenai kluster jangkitan kecil masih wujud dan tidak ada sesiapa yang boleh meramalkan situasi yang akan timbul di sekolah,” kata menteri pendidikan Yoo Eun-hae.

Kementerian pendidikan mula mengendali bilik situasi kecemasan 24 jam pada minggu ini, kata Yoo, menambah mana-mana sekolah yang melaporkan jangkitan baharu akan ditutup serta-merta.

Sementara pelajar tahun akhir diwajibkan datang ke sekolah setiap hari, pelajar lebih muda akan beralih di antara kelas dalam talian dan luar talian untuk memastikan bangunan sekolah tidak sesak. – AFP