Sekolah dibukakan secara berperingkat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Sesi persekolahan bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan bermula pada 3 Januari 2022.

Sementara itu, sekolah-sekolah antarabangsa akan beroperasi mengikut kalendar persekolahan masing-masing. 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Pada permulaannya, hanya pelajar-pelajar yang telah melengkapkan vaksinasi akan memulakan persekolahan secara fizikal dan pembukaan persekolahan seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, mengikut garis panduan yang telah disediakan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurut beliau lagi, Kementerian Pendidikan dan KHEU dalam sedikit masa lagi akan mengumumkan dan menjelaskan lebih lanjut lagi perkara berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh James Kon