Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Sekolah Freda Radin hari ini telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Tahun 2022 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Laksmana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaile yang seterusnya juga berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Freda Radin, Sarinah Amir Basha antara lain menjelaskan bahawa majlis tersebut diadakan setiap tahun oleh pihak sekolah bagi meraikan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahu pun kokurikulum.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah bukan sahaja kepada murid-murid yang menerima sijil mereka malahan juga kepada ibu bapa yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak sebagai agenda pertama dalam kehidupan mereka kerana jelasnya bahawa kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang diberikan oleh guru semata-mata ia juga adalah dengan kerjasama daripada pihak ibu-bapa dan penjaga murid-murid.
Pada masa yang sama setinggi penghargaan turut diucapkan kepada guru-guru yang menjadi tulang belakang yang mana hasil daripada sikap, dedikasi, komitmen, tanggungjawab, rasa prihatin dan kesungguhan kepada tugas yang telah memberikan impak atau kesan kepada meningkatnya kualiti dan kemajuan pengajaran dan pembelajaran sehingga membuahkan kejayaan untuk murid-murid.