Sekolah Freda Radin rai ulang tahun ke-50

Gambar serahan Sekolah Freda Radin

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Bersempena dengan ulang tahun ke-50, Sekolah Freda Radin telah mengadakan majlis sambutan jubli emas sekolah berkenaan, baru-baru ini, yang turut diselajurkan dengan majlis penyampaian sijil kepada para pelajar cemerlang dari pra sekolah sehingga Tahun 6.

Berkenan berangkat ke majlis yang diadakan di Dewan Damai, Hotel Aman Hills, Kampung Manggis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Sijil Khidmat Lama kepada kakitangan sekolah berkenaan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Mujadilah ayat 11 dan tafsirannya yang dibacakan oleh pelajar sekolah tersebut, diikuti dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Awang Sukerdi bin Haji Moksin.

Majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan seperti nyanyian, pakaian beragam, nasyid dan tarian Brunei oleh para pelajar.

Sekolah Freda Radin mula ditubuhkan pada 1968 yang pada masa itu dikenali sebagai Taman Asuhan Kanak-kanak Dayang Freda, di mana ia merupakan sekolah swasta yang pertama di negara ini.

Ia ditubuhkan dengan matlamat untuk membantu meringankan bebanan kaum ibu yang bekerja untuk menjaga anak-anak mereka semasa bertugas, di samping berperanan untuk mendidik anak bangsa bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan yang lebih cemerlang.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan mengurniakan sijil kepada salah seorang pelajar.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan menghadiri Majlis Sambu-tan Jubli Emas Sekolah Freda Radin.