Sekolah kembali ceria

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Dengan bermulanya sesi persekolahan bagi tahun 2017 pada hari ini, suasana keceriaan dan semangat para pelajar yang teruja hadir ke sekolah dan menemui guru-guru dan sahabat-sahabat mereka untuk menceritakan suasana musim percutian mereka dapat dirasakan.

Sebilangan besar begitu bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran khususnya dalam suasana peningkatan kelas yang diduduki di tahun yang baru ini.

Untuk meninjau perjalanan persekolahan pelajar-pelajar sesi persekolahan awal tahun mereka yang bermula hari ini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; timbalannya, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi ) Dr. Haji Azman bin Ahmad telah mengadakan lawatan secara berasingan ke beberapa buah sekolah di keempat-empat daerah.

Yang Berhormat Pehin mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah (SR) Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Jalan Mata-mata, Kluster 1 sementara Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom pula mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah (SM) Sultan Hassan Bangar, Temburong.

Dr Hajah Romaizah pula mengadakan lawatan ke SR Keriam, Tutong, Kluster 5 manakala Dr. Haji Azman mengadakan lawatan ke SR Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin, Kuala Belait, Kluster 6.

Menteri Pendidikan meninjau sesi persekolahan semasa lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Jalan Mata-mata, Kluster 1, kelmarin.
Menteri Pendidikan meninjau sesi persekolahan semasa lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Jalan Mata-mata, Kluster 1, kelmarin.
Menteri Pendidikan menanyakan sesuatu kepada salah seorang pelajar semasa lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Jalan Mata-mata, Kluster 1, kelmarin.
Menteri Pendidikan menanyakan sesuatu kepada salah seorang pelajar semasa lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Jalan Mata-mata, Kluster 1, kelmarin.

Ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan ke SR Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar dialu-alukan oleh guru besarnya, Dayang Suhaila binti Salleh dan Ketua Kluster 1, Dayang Hamidah binti Haji Daud.

Sesi lawatan bermula dengan rombongan Yang Berhormat Menteri Pendidikan dibawa melihat sesi perbarisan pagi sekolah yang dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa belajar serta ucapan alu-aluan oleh guru besar sekolah dan ucapan timbalan pengerusi PIBG sekolah, Awang Jafire bin Haji Mohammad.

Yang Berhormat Pehin juga dibawa menyaksikan sesi pembelajaran yang sedang berjalan di bilik-bilik darjah. Pada tahun ini SR Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, mempunyai 495 orang pelajar dan 39 orang tenaga pengajar.

Turut sama dalam rombongan Menteri Pendidikan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Gapar; Pengarah Perkembangan Kurikulum, Haji Abd Rahman bin Haji Nawi; Pengarah Kenaziran Sekolah-sekolah, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah; dan Ketua Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan, Dayang Sharinah binti Haji Awang Suhaimi.

Sementara itu, rombongan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ke SM Sultan Hassan Bangar dialu-alukan oleh pengetua sekolah berkenaan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.

Pengiran Dato Paduka Haji  Bahrom semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong, kelmarin.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong, kelmarin.

Semasa lawatan itu, Timbalan Menteri Pendidikan turut meninjau sesi pembelajaran yang sedang berjalan di beberapa buah kelas. Pada tahun ini, SM Sultan Hassan, Bangar mempunyai 757 orang pelajar dan 86 orang tenaga pengajar.

Turut sama dalam rombongan Timbalan Menteri Pendidikan ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abd Rahim bin Derus; Pengarah Perancangan dan Pengurusan Estet (JPPE) Kementerian Pendidikan, Haji Omarali bin Haji Muhammad Jaafar; dan Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Mohd Sharifudin Haji Mohd Salleh.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, lawatan-lawatan tersebut bertujuan bagi melihat perjalanan kemasukan para pelajar di awal tahun dan juga untuk memberikan sokongan dan meningkatkan hubungan baik antara pihak Kementerian Pendidikan dengan warga sekolah, di samping memberikan motivasi dan semangat bagi para pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan tahun 2017.

Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun ini keramaian pelajar-pelajar di sekolah-sekolah rendah kerajaan ialah seramai 35,380 orang dan keramaian pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan pula ialah seramai 34,432 (berdasarkan data sehingga 31 Disember 2016)