Sekolah kembali dibuka di luar Pulau Jawa dan Bali

JAKARTA, 10 OGOS – Pemerintah Indonesia kembali membenarkan kegiatan sosioekonomi di luar Pulau Jawa dan Bali yang berstatus Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) level 3.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), level 3 menunjukkan bagi setiap 100,000 penduduk kawasan, zon atau wilayah tertentu pada setiap minggu, jumlah jangkitan COVID-19  adalah antara  50 hingga 150 orang selain angka kematian adalah dua hingga lima kes.

Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto dalam sidang media menerusi webinar berkata sebanyak 302 kabupaten dan kota di luar Pulau Jawa dan Bali kini berstatus PPKM Level 3.

“Menerusi  PPKM Level 3 di luar Jawa-Bali, pemerintah membenarkan kembali sekolah dibuka dengan  protokol kesihatan yang  ketat dengan kuota maksima (kehadiran pelajar) di kelas hanya  50 peratus.

“Selain itu, rumah-rumah ibadat boleh dibuka dengan maksima 20 orang, pusat-pusat membeli belah dibenarkan dibuka dengan jumlah pengunjung hanya maksima  50 peratus dan beroperasi hingga pukul 8 malam,” katanya. – Bernama