Sekolah memandu dibuka semula

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Semua sekolah memandu di keempat-empat daerah akan dibuka semula bermula Sabtu ini, 16 Mei.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof menjelaskan, pembukaan semula semua sekolah memandu berkenaan adalah berasaskan kepada kenyataan Kementerian Kesihatan mengenai langkah-langkah perlaksanaan pelan de-escalation.

Walau bagaimanapun, jelasnya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini, pembukaan sekolah-sekolah memandu hendaklah mematuhi syarat-syarat seperti mengehadkan jumlah penuntut yang dibenarkan dalam satu-satu masa kepada 30 peratus saja daripada jumlah kapasiti biasa ruang duduk kelas berkenaan.

Selain itu, individu sama ada jurulatih atau penuntut yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dan berisiko tinggi dinasihatkan untuk tidak hadir ke kelas di samping menyediakan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan kelas.

Sekolah-sekolah memandu juga diingatkan untuk mematuhi garis panduan penjarakan fizikal dan sosial termasuk garis panduan khusus yang dikeluarkan oleh autoriti yang berkenaan dan dinasihatkan menggunakan penutup dan hidung.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Darat juga akan mengeluarkan garis panduan bagi pembelajaran praktikal kelas memandu yang akan dikongsikan dengan sekolah-sekolah memandu dalam masa terdekat.

“Mana-mana sekolah memandu yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang disebutkan, pihak kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204,” tegasnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, permohonan baharu bagi semua kelas lesen memandu dan permohonan baharu bagi ujian Kod Jalan Raya adalah dibuka semula kepada orang ramai mulai 16 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua sekolah memandu dan orang ramai memberikan kerjasama dengan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib ketika menjelaskan mengenai pembukaan semula semua sekolah memandu dengan langkah-langkah perlaksanaan pelan de-escalation. – Gambar oleh Syahmi Hassan