Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman anjur Virtual Team Challenge 2020

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Tutong telah mengadakan Virtual Team Challenge 2020 (SVTC2020) selama sebulan dengan acara larian atau mendaki bukit sejauh 5km pada hari ini, di Taman Rekreasi Sungai Basong yang turut disertai oleh Pengetua Sekolah tersebut, Dayang Roziena binti Haji Zini.

Acara larian SVTC2020 meliputi larian sejauh 100km sama ada larian di luar atau mendaki bukit atau menggunakan treadmill.

Setiap satu pasukan terdiri daripada tiga orang di mana, seorang daripada ahli pasukan merupakan yang cukup aktif dalam kegiatan bersukan manakala seorang lagi yang baharu bergiat aktif dan ia akan dinilai oleh jawatankuasa.

Setiap pasukan akan memilih seorang ketua untuk mengemaskini jarak larian mereka dan pasukan-pasukan dibolehkan untuk menggunakan aplikasi telefon bimbit seperti Strave, Run Tracker dan May My Run atau menggunakan jam tangan pintar dengan kemampuan GPS seperti Garmin, Polar dan lain-lain.

Sementara itu data yang menggunakan skrin treadmill tidak diterima kecuali data yang dikumpulkan melalui jam tangan.

Acara tersebut yang juga dibukakan kepada guru-guru dan kakitangan pentadbiran sekolah berkenaan.

SVTC diadakan dengan objektif untuk memupuk semangat kerja berpasukan, semangat kesukanan dan mengamalkan gaya hidup sihat yang berterusan dalam kalangan ahli-ahli sekolah.

Sejumlah 25 pasukan yang menyertai acara yang julung kalinya diadakan oleh sekolah tersebut, dianjurkan oleh Badan Kesihatan dan Kebajikan sekolah berkenaan melalui Pasukan CCA dan akan berakhir pada 10 Oktober ini.

Sesi bergambar ramai para peserta yang mengikuti acara larian tersebut.