Thursday, December 8, 2022
24.7 C
Brunei

-

Sekolah Miftah An-Nur semarak Maulidur Rasul

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur tidak ketinggalan memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan Majlis Maulud Nabi Muhammad SAW di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini telah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Miftah An-Nur, Haji Abu Bakar bin Haji Ibrahim.

Dalam sembah alu-aluannya, Haji Abu Bakar antara lain mengongsikan perkembangan kampus baharu Miftah An-Nur di Sungai Akar yang dijangka siap dibina pada Julai 2023 dan ini menunjukkan bahawa tahun baharu akademik akan menggunakan kampus baharu itu.

Menurut beliau, visi mereka adalah menjadikan Miftah An-Nur sebagai institusi bertaraf dunia yang membentuk pemimpin masa depan, membentuk sarjana masa depan, dan juga membentuk umat masa depan untuk generasi akan datang.

Dalam usaha ini, sembah beliau lagi, Miftah An-Nur akan melabur dalam sumber tenaga manusia dengan merekrut lebih ramai lagi guru yang berkebolehan dan menaik taraf guru sedia ada melalui latihan berterusan.

“Matlamat ini adalah untuk mempunyai sumber yang sangat berkualiti untuk merealisasikan visi bagi faedah maksimum untuk pelajar,” tambah beliau.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Azhab ayat 45-48 oleh pelajar Tahun 5 berserta terjemahannya. Majlis juga diserikan dengan persembahan Qasidah daripada Firqah Al-Husna selain berpeluang mendengarkan penerangan mengenai Baginda Rasulullah SAW yang telah disampaikan oleh pelajar Tahun 5 dan 4, serta menyaksikan tayangan Minggu Seerah yang memperlihatkan hasilkerja pelajar.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini semasa berangkat ke Majlis Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Salah satu persembahan yang menyemarakkan lagi majlis sambutan berkenaan.
Antara yang hadir pada Majlis Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China umum pelonggaran sekatan seluruh negara

BEIJING, 7 DIS – China hari ini mengumumkan langkah pelonggaran sekatan COVID di seluruh negara yang menjejaskan negara ekonomi kedua terbesar dunia dan mencetuskan...
- Advertisment -