Sekolah peringkat kedua mulai Khamis ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Sesi persekolahan peringkat kedua yang melibatkan pelajar-pelajar peringkat prasekolah hingga Tahun 5 bagi semua sekolah rendah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, sekolah agama termasuk pelajar Tahun 5 di lima buah sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah swasta akan dimulakan pada 18 Jun ini.

Sementara itu, pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran peringkat kedua bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ia tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menyatakan lagi bahawa dengan mengambil kira perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini serta nasihat dari Kementerian Kesihatan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan peringkat kedua bagi semua pelajar berkenaan adalah dikekalkan kaedahnya menggunakan modaliti yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan.

Sesi pengajaran dan pembelajaran akan mengguna pakai gabungan kaedah secara bersemuka (face-to-face) dan secara dalam talian mengikut kesesuaian serta kapasiti sekolah masing-masing, jelasnya lagi.

Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi bahawa bagi peringkat kedua itu, seramai 43,765 orang pelajar atau 48.3 peratus dijangka akan kembali bersekolah iaitu peningkatan sebanyak 23.1 peratus secara purata dari peringkat pertama.

Pada peringkat pertama pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran pada 2 Jun sehingga 15 Jun, secara purata pelajar-pelajar di sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, KHEU dan sekolah swasta telah mencatatkan kehadiran yang baik iaitu 80.9 peratus pada minggu pertama dan 80.1 peratus pada minggu kedua.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para ibubapa dan penjaga yang telah memberikan kerjasama dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan yang telah ditentukan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis pandu yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah masing-masing.

“Setentunya, peranan para ibu-bapa dan penjaga amatlah dihargai, terutama sekali dalam memastikan anak-anak dihantar ke sekolah,” ulasnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa penutup mulut dan hidung adalah digalakkan untuk dipakai oleh kalangan pelajar semasa mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

Kementerian Pendidikan dan KHEU akan sentiasa memantau pelaksanaan pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran itu secara berterusan dalam memastikan ia berjalan dengan teratur.

“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan akan sentiasa menekankan dua aspek penting iaitu mengamalkan penjarakan sosial, dan kebersihan diri dan premis sekolah bagi memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah adalah terjamin pada peringkat kedua sesi persekolahan nanti.”

Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa pihak sekolah telah pun membuat persediaan untuk menerima pelajar-pelajar di peringkat rendah itu dengan memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan penyusunan semula meja serta kerusi dalam bilik darjah, di kawasan kantin, perpustakaan dan dewan dengan mengikut SOP.

Sementara itu bagi mengawal pergerakan para pelajar semasa berada di sekolah, pihak sekolah telah menyediakan laluan dua hala serta membuat pita penanda di lantai bagi memudahkan penjarakan sosial.

Di samping itu, pihak sekolah juga ada menyediakan pensanitasi tangan di tempat-tempat yang strategik.

Pihak Kementerian Pendidikan amat menghargai komitmen yang telah ditunjukkan oleh barisan tenaga pengajar dan pemimpin sekolah dalam memastikan pelaksanaan dan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan.

“Di kesempatan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah yang memahami suasana normal baharu sesi persekolahan masa kini dan sentiasa memberi sokongan penuh dalam memastikan pelajar-pelajar tidak ketinggalan dalam menimba ilmu.”

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.