Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sekolah seni bantu kanak-kanak Namibia gapai impian

    WINDHOEK – Di sebuah struktur yang diperbuat daripada atap zink di penempatan tidak rasmi Havana yang terletak di pinggir ibu kota Namibia, Windhoek, kanak-kanak melukis imej pemandangan indah yang damai, isu sosial, objek dan persekitaran yang ideal, mencerminkan aspirasi mereka.

    “Ini poster yang menggambarkan seorang wanita. Saya menggunakan majalah lama dan kotak yang dibuang, lalu saya menampalnya di atas kertas, dan kemudian mewarnakannya. Saya suka melukis wanita cantik, membayangkan dunia di mana masyarakat melindungi wanita,” Lavinia Tobias, 13, mentafsirkan lukisannya.

    Tobias ialah salah seorang daripada 40 anak muda yang belajar di Sekolah Latihan Seni Frans Nambinga di Havana, salah satu penempatan tidak rasmi yang paling ramai penduduk di Windhoek.

    Sekolah itu ditubuhkan pada 2018, mengajar teknik seni kepada kanak-kanak dan belia di tengah-tengah cabaran berterusan di penempatan tidak rasmi. Setakat ini sekolah seni itu telah melatih kira-kira 100 orang muda sejak penubuhannya.

    “Kami menawarkan kelas persembahan dan seni visual kepada orang ramai dalam komuniti. Bukan sahaja untuk memupuk bakat tetapi untuk mengelakkan kanak-kanak didorong melakukan aktiviti jenayah di jalanan,” kata Frans Nambinga, artis dan pengasas sekolah itu.

    Seorang kanak-kanak mempamerkan lukisan yang diperbuat daripada bahan kitar semula di Sekolah Latihan Seni Frans Nambinga di Windhoek, Namibia. – Xinhua

    Lawatan ke China, tempat Nambinga mengambil bahagian dalam program selama enam bulan di bawah Forum Kerjasama China-Afrika yang diadakan di Hangzhou di wilayah Zhejiang di China pada 2013, mencetuskan lagi idea itu.

    “Di China, saya banyak belajar tentang industri seni kreatif, terutama selepas melawat muzium, galeri, kilang, dan memerhati bagaimana mereka menjalankan program seni untuk kanak-kanak,” katanya.

    Nambinga juga berkongsi pengalaman industri dan kelayakan yang diperoleh daripada Kolej Seni dan Pusat Seni John Muafangejo untuk menyampaikan kemahiran.

    Sekolah itu juga menggabungkan pendidikan seni dengan budaya dalam bentuk sejarah, tarian dan makanan untuk menyampaikan tradisi merentas generasi, menurut Letisia Hamukoto, seorang jurulatih di sekolah itu. Sejak itu sekolah berkenaan telah memberi peluang untuk menyalurkan impian anak muda, dengan ramai yang berminat untuk menjadikan seni sebagai tunjang utama mereka.

    Tobias, yang memulakan program itu pada usia enam tahun, berkata ia telah menjadikan program itu sebagai pela-rian daripada kesibukan jalanan di penempatan tidak rasmi itu.

    “Saya berasa lebih selamat di sini daripada berada di jalanan. Seni membolehkan saya bermimpi dan berkongsi minat seni saya dengan rakan dan jiran. Saya berharap untuk pergi jauh dengannya, walaupun hingga ke China atau Amerika, untuk mempamerkan karya saya dan belajar daripada orang lain,” kata Tobias.

    Selain itu, di sekolah itu anak-anak muda juga belajar kemahiran sosial. “Berada di sini mengajar saya bagaimana untuk bergaul dan bekerja dalam satu pasukan dengan orang lain,” kata Leticia Ndamekele, 12, yang telah menyertai program itu sejak 2019. Tambahan lagi, aktiviti luar di sekolah seni memberi kesan terhadap peningkatan prestasi akademik di sekolah aliran utama, khususnya dalam mata pelajaran seni.

    “Kami menerima maklum balas bahawa kanak-kanak yang bersekolah membentuk cara berfikir yang berbeza dan mempamerkan lebih keyakinan dalam penyampaian,” kata Nambinga. Selain itu, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan dan pengajian kepada belia.

    “Golongan belia memaksimumkan kemahiran yang dipelajari untuk menyara hidup melalui muzik atau seni visual. Kami juga menyediakan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dengan sijil dan portfolio yang melayakkan mereka untuk masuk ke kolej seni,” tambahnya.

    Sementara itu, pusat itu telah mencatatkan peningkatan permintaan untuk pendidikan seni di kawasan itu, mewujudkan kedua-dua faedah dan cabaran yang tidak diingini. Wabak COVID, ruang yang tidak mencukupi, sumber dan dana untuk berkembang menjadi halangan. Ini lebih-lebih lagi kerana kerja seni, terutamanya sekolah, merupakan sumber pendapatan utama.

    “Ini adalah sumber pendapatan saya. Bagaimanapun, program tidak selalu menjana pendapatan yang besar kerana kebanyakan penduduk tempatan dan ibu bapa tidak mampu membayar standard $100 Namibia (AS$6.72). Saya tidak menghalau mereka, saya akan tetap mengajar mereka,” kata Nambinga.

    Sokongan pelengkap juga datang daripada kerjasama dengan institusi dalam projek bersama. Menurut Nambinga, beberapa institusi bekerjasama dengan pihak sekolah untuk melaksanakan sesuatu idea melalui pameran atau seni persembahan bagi meningkatkan kesedaran tentang sesuatu isu sosial. Walaupun menghadapi cabaran, Nambinga berharap dapat membesarkan sekolah dan menempatkan lebih ramai kanak-kanak. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...