Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Seramai 29 orang murid Tahun 3 yang diiringi oleh tiga orang guru dari Sekolah Seri Mulia Sarjana berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman pembuatan mi ketika lawatan sambil belajar ke Mee Kilang Enterprise, Pekan Muara, kelmarin.
Lawatan sambil belajar itu, memberikan peluang kepada para murid bukan sahaja untuk menimba ilmu di luar bilik darjah tetapi dihasratkan untuk meningkatkan lagi daya kreativiti serta imaginasi mereka melalui pembelajaran pengalaman.
Semasa lawatan itu, murid-murid diberikan peluang untuk membuat mi kuning dan mi putih atau mi halus serta berpeluang untuk melihat sendiri proses pembuatan mi berkenaan di kilang itu.
Terdahulu, sebelum memulakan lawatan ke kilang mi itu, murid-murid dimestikan untuk memakai peralatan keselamatan untuk memastikan kebersihan kilang pembuatan mi berkenaan khususnya semasa proses pembuatan mi dijalankan.
