Sekolah St John iktiraf pelajar cemerlang

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 MAC – Sebagai majlis tahunan untuk mengiktiraf dan mengetengahkan pelbagai pencapaian pelajar, Sekolah St John, Kuala Belait telah mengadakan Majlis Anugerah Merit bagi Pelajar Cemerlang, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah St John, Lee Yin Fah selaku tetamu kehormat de-ngan diiringi oleh Pengetua, Dr Teh Keng Watt.

Majlis menyaksikan penyampaian anugerah kepada seramai 42 orang pelajar, termasuk pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam setiap tahun akademik dari Tahun 1 hingga Tahun 11 serta pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan termasuk Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Kemajuan Pelajar (SPE) dan GCE ‘O’ Level pada 2019.

Penyampaian anugerah juga diselang-selikan dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar sekolah berkenaan untuk menyerikan lagi suasana majlis dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Majlis berkenaan diharap akan membantu merangsang dan menggalakkan para pelajar untuk mencabar diri mereka dalam mencapai keputusan terbaik, bukan sahaja dalam peperiksaan malah dalam keseluruhan prestasi sekolah, yang bertujuan untuk memastikan mereka menamatkan pengajian di sekolah berkenaan dengan kemahiran dan pengetahuan yang boleh digunakan untuk mengatasi cabaran-cabaran akan datang.

Salah seorang pelajar menerima anugerah yang disampaikan Lee Yin Fah. – Gambar serahan Sekolah St John