Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Sekolah Sukan raikan kecemerlangan penuntut

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Bagi meraikan pencapaian terbaik sepanjang menempuhi sesi pengajaran dan pembelajaran pada tahun sebelumnya, Sekolah Sukan telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Penuntut Cemerlang Peperiksaan Awam BC GCE O Level / IGCSE 2021 yang berlangsung di atrium, sekolah berkenaan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan Ketua Kluster 3, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Siti Hawa binti Haji Mat Noor yang sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil tamat pengajian kepada 46 orang penuntut bagi sesi tahun lepas.

    Turut hadir ialah Ketua Perhubungan Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Total Energies, Haji Muhammad Firdaus bin Haji Razali yang mana Total Energies selaku penaja dan memberi sumbangan kepada Sekolah Sukan pada majlis berkenaan.

    Terdahulu, majlis yang turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa atau penjaga para penerima anugerah itu telah dimulai dengan perarakan masuk penerima hadiah dan disemarakkan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan salah seorang penuntut Tahun 11 (sesi 2021), Awang Ahmad Nur Rasif bin Haji Yusri.

    Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua Sekolah Sukan, Matthew Letham selaku pengerusi majlis dan diselajurkan dengan kata alu-aluan daripada tetamu kehormat majlis.

    Sejurus penyampaian sijil tamat pengajian, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil kepada 17 orang penuntut yang memperolehi keputusan lima kredit ke atas dalam peperiksaan BC GCE O Level / IGCSE 2021 yang disempurnakan oleh Haji Muhammad Firdaus.

    Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan ucapan khas daripada wakil penuntut dari Tahun 11 (sesi 2021), Awang Faridstar bin Morsid sebelum diikuti dengan penyampaian sijil kepada guru-guru Tahun 11 2021 dan cenderamata kepada tetamu kehormat dan penaja dari Total Energies oleh pengetua Sekolah Sukan.

    Majlis berkenaan diadakan bagi merakamkan kesyukuran dan kegembiraan Sekolah Sukan di atas pencapaian para pelajar dalam peperiksaan awam BC GCE O Level / IGCSE sepanjang tiga tahun kebelakangan ini iaitu peningkatan daripada 34 peratus kepada 36.9 peratus.

    Hal ini berkat kerjasama semua pihak termasuk pihak pentadbiran, guru-guru, para ibu bapa atau penjaga dan pelajar sekolah tersebut.

    Haji Muhammad Firdaus semasa menyampaikan hadiah dan sijil kepada penuntut yang memperoleh keputusan lima kredit ke atas pada majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...