Sekolah tuisyen, muzik dibenarkan beroperasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Sekolah tuisyen dan sekolah muzik adalah dibenarkan untuk hanya mengadakan kelas persendirian atau one-on-one classes sahaja iaitu seorang guru dengan seorang pelajar, buat sementara waktu sebagai tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang akan bermula pada 5 Jun.

Dalam hubungan itu pengurus-pengurus bagi kesemua premis-premis yang disebutkan berkenaan adalah dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis berkenaan dan seterusnya mencetak kod QR serta melekatkannya di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus meninggalkan premis. Tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan, mereka juga dikehendaki untuk melakukan pemeriksaan suhu badan pengunjung di pintu masuk dan memastikan pengunjung mematuhi garis panduan penjarakan sosial serta menasihatkan sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dan orang berisiko tinggi untuk tidak hadir ke premis berkenaan.

“Merujuk pengumuman sidang media pada 4 Mei, 14 Mei dan 21 Mei 2020 mengenai pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial; pembukaan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat bermula 29 Mei 2020 dan sesi kedua penggal persekolahan yang bermula pada 2 Jun 2020 serta mengambil kira situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang pada masa ini adalah dalam keadaan yang terkawal, maka pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang telah dilaksanakan berikutan wabak COVID-19 di negara ini, Tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial kali ini akan melibatkan sekolah tuisyen dan sekolah muzik, yang mana hanya kelas persendirian atau one-on-one classes sahaja dibenarkan buat sementara waktu.”

Beliau menekankan bahawa orang ramai adalah dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan.

Salah sebuah kelas tuisyen yang turut menyediakan pensanitasi tangan akan memulakan sesi pembelajaran secara one-on-one classes hari ini.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.”

Tegasnya lagi, “Kementerian ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.”

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global serta melaksanakan penilaian risiko secara berterusan bagi mempertimbangkan pengurangan langkah-langkah seterusnya.

“Jika situasi wabak kembali membimbangkan, Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk memperketatkan semula langkah-langkah penjarakan sosial yang perlu dilaksanakan untuk mengawal wabak tersebut,” tekannya.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa sebagai salah satu langkah mempertingkatkan usaha pemantauan terhadap jangkitan COVID-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan juga akan memperluaskan ujian saringan makmal SARS-CoV-2 khususnya di kalangan petugas-petugas barisan hadapan (frontliner) dan petugas-petugas di pusat penjagaan kanak-kanak, pra sekolah dan pusat penjagaan warga emas.

“Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perubahan mengenai situasi ini, jika perlu dari semasa ke semasa.”