Sekolah tuisyen, muzik kini bawah Tahap Kesediaan Operasi 4

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Sekolah tuisyen dan sekolah muzik akan dibenarkan beroperasi seperti biasa bermula 27 Julai di bawah Tahap Kesediaan Operasi 4 berikutan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Menurut Garis Panduan Tahap Kesediaan Operasi 4 bagi Sekolah Tuisyen dan Sekolah Muzik, pihak pengurusan sekolah-sekolah berkenaan dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR tersebut dan dilekatkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Pihak pengurusan juga dikehendaki untuk memastikan langkah-langkah kebersihan dan penjarakan fizikal dilaksanakan sebagaimana arahan-arahan berikut iaitu membuat pemeriksaan suhu badan bagi para pengunjung di pintu-pintu masuk premis berkenaan, menyediakan kemudahan mencuci tangan atau pensanitasi tangan untuk kegunaan pengunjung dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sekurang-kurangnya selepas setiap kelas.

Pada masa yang sama, pengunjung dan kakitangan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah sehingga telah sembuh.

Garis panduan menekankan bahawa sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar arahan yang telah dikeluarkan ini maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.