Sekolah Tunas Jaya PGGMB rai pelajar cemerlang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Murid-murid yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Hadiah Murid Terbaik 2019, Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Lambak yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB Sungai Akar, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan anugerah kepada murid-murid ialah Timbalan Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Ali.

Pada majlis itu, pengetua sekolah, Ng Nyuk Lan dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap komitmen guru-guru dan kakitangan sekolah yang sama-sama menjayakan rancangan-rancangan yang telah disusun sepanjang tahun persekolahan.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan ibu bapa dan penjaga murid-murid yang banyak membantu pelbagai aktiviti sekolah.

Beliau menambah bahawa kerjasama semua pihak terbukti menyumbang kepada kemajuan sekolah yang berterusan.

Menurutnya, sekolah menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat di mana setiap pelajar berhak untuk dibekalkan dengan kemahiran-kemahiran, ilmu pengetahuan dan tingkah laku yang kukuh sebelum mereka meneruskan peringkat persekolahan seterusnya.

Majlis kemudian menyaksikan penyampaian sijil kepada seramai 30 orang murid Tahun 6 yang menamatkan persekolahan di sekolah berkenaan dan seramai 25 orang murid Pra 3 sesi pengajian 2018 juga menerima sijil dan hadiah.

Selain daripada itu, seramai 64 orang murid Pra 1 hingga Tahun 5 menerima sijil dan hadiah Murid Terbaik 2019.

Majlis diserikan dengan tarian-tarian yang berkonsepkan ASEAN yang dipersembahkan oleh murid-murid Pra 2 dan 3, serta Tahun 1 hingga 3 dan 5. Acara diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Haji Badar dan sesi gambar ramai.

Haji Badar menyampaikan sijil kepada salah seorang murid yang diraikan. – Gambar oleh PGGMB