Sekolah YSHHB rai Hari Hindi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Sekolah Yayasan Sutan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dan Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam hari ini, telah meraikan Hari Hindi Sedunia 2020 melalui pelbagai aktiviti tarian, nyanyian dan sebagainya yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah YSHHB.

Menyertai pada acara pagi tadi itu ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah yang merupakan pelajar Tahun 5 di sekolah berkenaan.

Turut hadir ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa acara berkenaan disambut bagi memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran mengenai Bahasa Hindi menerusi pertandingan seperti membaca syair, menyanyi dan menari dalam lagu berbahasa Hindi.

YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah dan Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah semasa menyaksikan persembahan pada acara tersebut.
Antara guru-guru yang turut terlibat dalam tarian bercorak Hindi.
Pengiran Nur Aabidah Syifa mendapat tempat ketiga dalam kategori sekolah menengah bagi pertandingan puisi.

Seramai 13 orang peserta daripada kalangan pelajar sekolah rendah, 11 orang pelajar di peringkat menengah dan lima orang tenaga pengajar telah menyertai pertandingan berkenaan, tambah beliau.

Turut menyertai pertandingan membaca syair ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur Aabidah Syifa yang memenangi tempat ketiga bagi kategori pelajar sekolah menengah.

Pengiran Nur Aabidah Syifa merupakan pelajar Tahun 9 di Sekolah Menengah YSHHB telah menyampaikan puisi bertajuk ‘The Gift of India’ oleh Sarojini Naidu.

Sementara itu, TYT Ajaneesh Kumar dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa sambutan Hari Hindi Sedunia diraikan pada setiap tahun bagi mengangkat Bahasa Hindi di seluruh dunia.

Ia digunakan oleh lebih 500 juta penutur di seluruh dunia di mana ia semakin popular menerusi industri filem Bollywood.